Sunday 8 March 2015



Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dapat mengekalkan keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang tersendiri di Malaysia. Antara kaum yang hendak dibincangkan adalah Baba Nyonya dan India Muslim yang mempunyai sejarah tersendiri di Tanah Melayu. Objektif kajian ini ialah untuk mengetahui sejarah asal usul perkembangan kaum Baba Nyonya dan India Muslim di Malaysia. Keduanya ialah untuk menganalisis tentang adat resam seperti kebudayaan, perkahwinan, pakaian dan sebagainya mengenai Baba Nyonya dan India Muslim. Ketiganya pula ialah untuk mempelajari sesuatu kaum yang bertapak di Tanah Melayu dari dahulu hingga ke hari ini. Pada Zaman dahulu, China sentiasa berdagang ke Tanah Melayu sama ada melalui jalan darat atau jalan laut merentasi selat dunia termasuklah Negeri Melaka. Pada masa itu, anak raja China Puteri Hang Li Po telah berkahwin dengan Sultan Melaka untuk mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua Negara. Berlaku peringkat pertama terbentuknya masyarakat Baba Nyonya. India Muslim adalah mereka yang berketurunan India dan beragama Islam. Tamil, Kerala, Punjabi, Sidhi, Mahratta, dan sebagainya tergolong dalam India Muslim. Di Malaysia, majoriti India Muslim bertutur dalam bahasa Tamil. Justeru itu terma India Muslim lazimnya ditujukan kepada mereka yang bertutur dalam bahasa tersebut. Di Malaysia, India Muslim juga dikenali sebagai Mamak, DKK (Darah Keturunan Keling) dan Jawi Peranakan. Baba Nyonya dan India Muslim mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Mereka yang berketurunan seperti ini mempunyai iras muka yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti berkulit putih dan bermata sepet bagi yang berketurunan Baba Nyonya. Namun, India Muslim pula berkulit gelap sedikit dan berwajah seperti india. Ini dapat membezakan antara keturunan Baba Nyonya dan India Muslim.

( BABA NYONYA )



Pada zaman dulu, China sentiasa berdagang ke Tanah Melayu tidak kira sama ada melalui jalan darat atau jalan laut merentasi selat dunia. Mereka banyak menjalinkan hubungan perdagangan di pentas dunia termasuklah di Negeri Melaka yang pada masa itu terkenal dengan sebuah negeri yang sedang pesat dengan perdagangan. Seterusnya, Melaka merupakan tempat untuk bertemu bagi saudagar-saudagar yang datang daripada timur dan selatan. Pada masa itu anak kepada Raja China iaitu Puteri Hang Li Po telah dikahwinkan dengan Sultan Melaka pada masa itu iaitu Sultan Muzzaffar Shah. Tujuan utama adalah untuk mengeratkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua Negara. Maka di sinilah bermulanya pembentukan masyarakat Baba dan Nyonya. Tanpa disedari, lama-kelamaan jumlah kaum Baba dan Nyonya semakin ramai di Tanah Melayu. Mereka juga turut dikenali dengan sebagai cina peranakan. Maksud peranakan disini adalah kaum. Hal ini demikian kerana, Baba dan Nyonya mengamalkan adat resam orang Melayu. Mereka turut bertutur dalam Bahasa Melayu di rumah walaupun bercampur sedikit dengan dialek cina. Selain itu, kain sarung Melayu dan kebanyakan pakaian Melayu telah menjadi amalan mereka malah upacara perkahwinan turut diraikan berlatar belakangkan adat istiadat masyarakat Melayu. Percantuman budaya yang unik antara kedua-dua kaum ini telah melahirnya sesuatau yang baru iaitu sebuah budaya yang unik di Malaysia. Tidak ketinggalan juga, masakan Cina dan Melayu yang digabungkan menjadi satu masakan baru. Sehubungan dengan itu, kaum Baba dan Nyonya mula berkembang di Melaka. Diikuti dengan Pulau Pinang dan Singapura. Namun begitu, gelaran Baba dan Nyonya tidak begitu dikenali di Singapura dan Pulau Pinang sebaliknya lebih dikenali sebagai cina starait. Perbezaan cina staraits dengan Baba dan Nyonya adalah cina starait masih mengamalkan adat resam nenek moyang mereka manakala Baba dan Nyonya di Melaka mengamalkan adat resam masyarakat orang Melayu.

AGAMA :

Kaum Baba dan Nyonya mengamalkan adat-adat tradisional kaum Cina iaitu menyambut Tahun Baru Cina dan Perayaan Tanglung. Mereka turut mengamalkan adat resam masyarakat Melayu dan pengaruh daripada kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Indonesia turut meninggalkan kesan dalam keagamaan.





MASAKAN :

Kesan daripada pengaruh Melayu, lahirnya masakan “Nyonya” yang menggunakan rempah masakan Melayu. Antara contohnya ialah ayam kapitan, ia merupakan sejenis kari ayam kering. Kemudian adalah inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyonya dan pindang bandeng yang bermaksud  kuah ikan dan dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di Singapura.


PERKAHWINAN :

Saudagar Cina di Melaka pada zaman silam gemar memperisterikan atau mempergundikkan perempuan Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera. Hasilnya, suku Baba dan Nyonya telah memperlihatkan campuran budaya orang Cina dan orang Melayu yang bersinergi. Catatan daripada abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyatakan bahawa lelaki Baba lazimnya mengahwini wanita dalam masyarakat Peranakan setempat. Ada kalanya, keluarga Peranakan membawa masuk pengantin dari China atau menghantar anak perempuan ke China untuk mencari suami. Orang Peranakan biasanya berkahwin dengan pasangan setempat yang sama darjatnya. Sebagai tambahan, lelaki kaya paling menggemari chin choay yang bermaksud sebuah perkahwinan matrilokal iaitu si suami akan menyertai keluarga isteri. Oleh itu, lamaran memerlukan buah tangan pinangan atau bakul berkilau dua tingkat yang dibawa oleh penghantar kepada ibu bapa pengantin. Penghantar adalah orang yang mewakili pelamar. Kebanyakan suku Peranakan tidak beragama Islam tetapi sebaliknya memelihara adat resam masyarakat Cina seperti penyembahan nenek moyang mereka tetapi terdapat juga yang telah memeluk agama Kristian.



PAKAIAN :

Pendagang China yang berkahwin dengan penduduk Tanah Melayu kebiasaannya memakai pakaian kebaya yang anggun. Pakaian kebaya buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman yang bertebuk lubang di mana garisan corak bermotif bunga dijahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula akan ditebuk lubang dan dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segi tiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik. Sehingga ke hari ini masih lagi terdapat kaum Nyonya yang memakai kain sarung berserta dengan kebaya. Pakaian Nyonya merupakan satu simbol identiti bagi masyarakat Baba. Pakaian ini juga dapat membezakan kaum Baba dari China yang lumrahnya memang tidak memakai kain sarung bersama kebaya. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, masyarakat Cina mula berjinak-jinak dengan memakai kain sarung dan kebaya. Pemakaian kebaya yang dipakai oleh masyarakat Baba memerlukan tiga pasang kerongsang untuk dijadikan butang.


( INDIA MUSLIM )

Dicatatkan bahawa kedatangan masyarakat India Muslim ke Malaysia adalah seawal tahun 1402 Masihi. Pada peringkat awalnya, kedatangan masyarakat India Muslim ini lebih kepada menjalankan aktiviti perdagangan dan juga penyebaran agama Islam. Kedatangan pedagang-pedagang ini adalah melalui jalan laut sebagai pintu masuk dan penempatan awal mereka. Seterusnya, ini telah menjadikan pelabuhan negara sebagai pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Melaka dan Pulau Pinang. Sehubungan dengan itu, pelabuhan-pelabuhan ini telah menjadi lokasi utama mereka menjalankan  urusan perniagaan secara meluas dan pesat ke seluruh Tanah Melayu. Mereka turut menguasai sebahagian besar pelabuhan-pelabuhan tersebut dalam urusan perdagangan, perkapalan dan penumpang. Dengan kedatangan mereka juga, masjid dan sekolah agama mula dibina kerana pada ketika itu terdapat ramai mubaligh dan tokoh agama dari India yang turut datang bersama mereka. Malah terdapat juga tokoh agama dari India yang dilantik menjadi penasihat agama kepada Sultan dan pembesar negara. Disebabkan oleh urusan perdagangan, mereka kerap berulang alik antara Tanah Melayu dan India. Situasi ini menyebabkan mereka menjadi serasi dan selesa untuk menetap di Tanah Melayu. Malah, Tanah Melayu dianggap sebagai rumah kedua bagi mereka. Terdapat juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan berkeluarga di sini. Selepas merdeka, hampir 80 peratus peniaga yang sering berualang alik dari Malaysia ke India adalah masyarakat India Muslim manakala 20 peratus lagi terlibat dalam sektor pekerjaan dan yang di Malaysia. Namun, pada hari ini situasi sudah berubah. Hanya 20 peratus sahaja masyarakat India Muslim yang masih berulang alik antara Malaysia dan India manakala 80 peratus lagi sudah menetap di Malaysia dan mempunyai kerakyatan negara ini. Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai kaitan dengan negar dan kini Malaysia adalah negara pertama mereka.



Perkahwinan :

Dalam adat peminangan, terdapat upacara ‘suap gula’ yang dilakukan ke atas pengantin perempuan oleh bakal ibu mertua serta saudara-mara pengantin sebelah lelaki. Dalam upacara tersebut sedikit gula akan disuapkan kepada pengantin perempuan oleh beberapa orang keluarga terdekat dan kebiasaannya menggunakan sudu kecil perak sebagai tanda memaniskan kehidupan pada masa akan datang. Amalan memakai inai pada jari-jari tangan dan kaki serta masih diteruskan mengikut adat lama. Ini dilakukan kepada sebelah pengantin perempuan dan tidak melibatkan pengantin lelaki. Upacara akad nikah juga memperlihatkan ciri-ciri tradisi lama yang masih bertahan. Orang Jawi Peranakan masih mengutamakan perhiasan barang kemas dan kelengkapan ini lazimnya merupakan sebahagian daripada bahan hantaran atau ‘syepu’. ‘Hantaran belanja’ selalunya melambangkan status dan kedudukan keluarga pengantin yang dikatakan berketurunan ‘anak Mami’. Biasanya juga, seutas rantai emas atau kadangkala rantai bertatah berlian akan dikalungkan ke leher pengantin perempuan oleh ibu mertua sebagai simbol menyempurnakan ikatan janji perkahwinan. Ini menggantikan adat menghadiahkan ‘manik hitam’ dalam tradisi asal yang diamalkan dahulu.



Masakan :
Makanan tradisional kaum India Muslim adalah seperti pasembur, nasi kandar, roti canai, putu mayam, muruku dan sebagainya.

Warisan Kebudayaan :

Antara khazanah masyarakat India Muslim adalah seperti seni bela diri kalari payat, warisan tulisan Arab-Tamil dan persembahan kebudayaan seperti qawali (permainan gendang dan kompang arab) serta aksi pendekar kalari payat.


Pakaian :

Dhoti merupakan pakaian untuk kaum lelaki. Pakaian ini diperbuat daripada kain berwarna putih. Kebanyakan dhoti sering dilihat pada hari perkahwinan sahaja. Dhoti juga diperbuat daripada lembaran kain putih yang panjang. Kain tersebut akan dililit di bahagian pinggang dan akan diikat pada celah peha. Seterusnya, akan disangkutkan pada bahagian bahu dan kain tersebut akan dihiasi dengan manik-manik kecil agar kelihatan lebih menarik. Terdapat juga dhoti yang berwarna kuning pudar atau kuning susu. Sari pula merupakan pakaian untuk kaum perempuan dan ia adalah pakaian harian yang turut dipakai pada musim perayaan. Sari terdiri daripada lembaran kain yang berukuran semeter hingga dua meter lebar dan panjangnya pula antara lima hingga lima belas meter mengikut saiz pemakai. Kebanyakan kain sari adalah jarang dan lembut. Sebelum memakai sari si pemakai perlu memakai anak baju. Kemudian sari dililit daripada pinggang dan diselempang pada bahu kiri. Lilitan pinggang adalah sebanyak tiga hingga lima kali untuk menguatkan lilitan supaya tidak terurai. Dari segi pemilihan warna, kebanyakan sari yang dipakai adalah berwarna terang seperti meah, biru, hijau, dan ungu. Warna-warna ini lebih menarik apabila dipakai pada musim perayaan. Pemilihan corak pula adalah mengikut si pemakai.

No comments:

Post a Comment